Sunday 24 June 2012

30 Wasiat Imam Al-Bukhari

Ulama hadis yang paling terkemuka dan masyhur diantara imam-imam hadis adalah Imam Bukhari. Semenjak kecil lagi, nilai intelek Imam Bukhari telah teserlah. Beliau amat warak dan mempunyai daya ingatan yang luar biasa. Diriwayatkan bahawa semasa umur beliau belasan tahun, beliau sudah menghafal 70,000 hadis Rasulullah s.a.w.Ketika berumur 16 tahun, Imam Bukhari pergi ke Makkah bersama ibunya untuk menunaikan Haji. Imam Bukhari terlalu seronok berada di Makkah sehinggakan beliau memanjangkan tempoh lawatan di Makkah untuk membolehkan beliau berguru dengan ulama-ulama terkemuka di Makkah.


Pada umur 18 tahun, Imam Bukhari menerbitkan bukunya yang pertama mengenai sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w, yabg bertajuk 'Al-Tarikh Al-Kabir'. Beliau menulis bukunya ini di dekat makam Nabi s.a.w dan banyak menulis pada waktu malam hari terutama ketika terang bulan.

Imam Bukhari adalah tokoh ulama penghimpun dan penyusun hadis yang paling terkemuka. Beliau digelar dengan panggilan Amirul Mukminin Fil-Hadis (pemimpin orang mukmin dalam hadis), suatu gelar hadis tertinggi.


Semasa pengembaraan beliau, Imam Bukhari hanya mempunyai satu matlamat iaitu mengumpulkan seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk membolehkan beliau membuat pengumpulan yang terbesar tentang sunnah hadis Rasulullah s.a.w. Beliau begitu giat menulis, dan pada satu ketika beliau berkata, " Saya sudah menulis mengenai 1,800 orang, setiap satunya meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w dan saya hanya menulis mengenai mereka yang lulus ujian yang saya tetapkan".

Imam Bukhari mempunyai ingatan yang mengkagumkan dan sumbangannya terhadap sains dan pengumpulan hadis tidak dapat ditandingi. Beliau merakamkan hadis Rasulullah s.a.w di dalam buku 'Al-Jami Al-Sahih'. Beliau membuat penyelidikan selama 16 tahun dan meneliti 600,000 buah hadis sebelum memilih 7,525 buah hadis yang beliau berpuas hati kerana menepati takrif kesahihan yang beliau tetapkan.

Imam Bukhari pernah berkata: "Saya tidak pernah meriwayatkan sebuah hadis pun juga yang diterima dari para sahabat dan tabi'in, melainkan saya mengetahui tarikh kelahiran sebahagian besar mereka, hari wafat dan tempat tinggal mereka. Demikian juga, saya tidak meriwayatkan hadis sahabat dan tabi'in yakni hadis-hadis mauquf, kecuali ada dasarnya yang saya ketahui dari kitabullah dan sunnah Rasulullan s.a.w.

Buku ini mendedahkan kehebatan Imam Bukhari dan wasiat beliau yang termashyur, terutama yang bersumber dari kitab beliau yang terkenal, Al-Tarikh Al-Kabir.


ULAMA, PEMIMPIN, PUJANGGA DAN HUKAMA PASTI AKAN MATI. SATU-SATUNYA YANG AKAN TINGGAL HANYALAH BUKU KARYA MEREKA.

Sumber Asal : http://jomsewabuku.blogspot.com/2010/01/30-wasiat-imam-bukhari-abu-ahmad-yasin.html

Saturday 23 June 2012

Karangan-karangan Imam Al-Bukhari

1. Al-Jaami' As- Sahih. Dikenali sebagai Sahih Bukhari.


2. At- Tarikh Al Kabir. Ia merupakan karangan yang paling indah dan baik mengikut bab begitu juga topiknya. Perawi-perawai hadis semenjak dari zaman sahabat sehinggalah zaman beliau serta mengandungi perbahasan tentang kecacatan-kecacatan Hadis, Jarah, Ta'dil dan sebagainya. Ia telah dicetak di Hyderabad di India pada tahun 1691 M dengan disemak oleh Al-Allaamah Abdul Rahman Al-Mu'allimi Rahimahullah.


3. At-Tarikh Al-Ausat.Ia disusun selama beberapa tahun dan tiba kepada kita darinya potongan kitab ilmu islam yang terdahulu.


4. At-Taarikh As-Soghir.Ia disusun beberapa tahun dan dicetak berulang kali.


5. Kitab Al-Kuna.Ia dicetak sebagai lampiran Kitab At-Taarikh Al-Kabir dipercetakan Hyderabad.


6. Adh-Dhu'afa'.Terdapat dua kitab dengan nama tersebut iaitu Soghir (kecil) dan Kabir (besar). Mengandungi sejumlah perawi-perawi hadis yang lemah.


7. Al-Adab Al- Mufrad.
Merupakan kitab adab dan akhlak yang elok lagi baik mengikut bab dengan cara terkini dan telah dicetak sebanyak beberapa kali.


8. Al-Qiraat Khalfa Al-Imam (bacaan dibelakang imam).Dikenali sebagai Juz Al-Qiraat. Mengandungi masalah bacaan makmum dibelakang imam dan menyokong hujah tentang diwajibkan membaca Al-Fatihah pada setiap rakaat dalam apa jua keadaan, sekalipun orang yang mendirikan sembahyang itu sebagai imam, makmum atau bersendirian, samada di dalam sembahyang yang tidak dinyatakan bacaannya ataupun yang dinyatakan bacaannya malah tidak dikira rakaat tanpanya. 


9. Mengangkat kedua-dua tangan dalam sembahyang.Dikenali dengan Juz Raf'ul Yadain. Imam Bukhari membentangkan masalah orang sembahyang mengangkat kedua-dua tangan apabila melakukan takbiratul-ihram dan semasa berpindah rukun.


10. Kejadian Perbuatan Hamba.Kandungannya adalah tentang permasalahan pegangan (akidah) iaitu perbuatan-perbuatan hamba adalah merupakan makhluk dan kalam Allah iaitu Al-Quran adalah bukan makhluk. Faktor yang mendorong beliau mengarang kitab tersebut adalah sebagai suatu ujian yang dihadapi tentang masalah tersebut.


Monday 18 June 2012

Biodata Al-Imam al-Bukhari Radhiallahu Anhu

Biodata Al-Imam al-Bukhari Radhiallahu Anhu


(Pusara Al-Imam Al-Bukari)

Insan bertuah dalam sejarah Islam ini bernama Muhammad bin Isma‘il bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah al-Bukhari al-Ju‘fi atau turut dikenali dengan panggilan Abu ‘Abdillah. Beliau dilahirkan pada hari Jumaat, 13 Syawal 194 Hijrah di Bukhara.

Al-Imam al-Bukhari adalah seorang yang sangat cermat dalam menulis hadith-hadith Rasulullah. Beliau telah menjelaskan kepada kita berkenaan dengan proses penulisan kitab Sahih beliau dengan berkata:

خَرَّجْتُ كِتَابَ الصَّحِيْحِ مِنْ زُهَاءِ سِتِّمِائَةِ أَلْفِ حَدِيْثِ فِيْ سِتَّ عَشَرَ سَنَةً . وَمَا وَضَعْتُ فِيْهِ حَدِيْثًا إِلاَّ اغْتَسَلْتُ وَصَلَّيْتُ رَكْعَتَيْنِ .

yang bermaksud:

Saya mengeluarkan kitab al-Sahih (Sahih al-Bukhari) ini daripada kadar 600 ribu hadith dalam masa 16 tahun. Saya tidak akan meletakkan di dalam al-Sahih satu hadithpun melainkan saya akan mandi dan melaksanakan solat dua rakaat .


Para ‘ulama pada zaman al-Imam al-Bukhari sangat menghormati beliau lantaran ketinggian ilmunya dan ketakwaannya kepada Allah. Beliau sendiri telah bertemu dengan lebih 1000 orang para ‘ulama demi untuk menuntut ilmu .

Allah Taala memberikan kepada beliau kelebihan hafazan yang kuat. Apabila al-Imam al-Bukhari melihat mana-mana kitab sekali sahaja, maka beliau akan terus dapat menghafaz seluruh isi yang ada di dalam kitab tersebut hanya dengan sekali pandang sahaja .

Sekitar 100 ribu para ‘ulama telah belajar daripada beliau . Al-Imam Muslim sendiri yang merupakan salah seorang murid beliau pernah mengeluarkan satu kata-kata yang cukup menunjukkan betapa Al-Imam Muslim amat mengkagumi al-Imam al-Bukhari. Al-Imam Muslim berkata:

دَعْنِيْ أُقَبِّلُ رِجْلَيْكَ يَا طَبِيْبَ الْحَدِيْثِ فِيْ عِلَلِهِ ، وَيَا سَيِّدَ الْمُحَدِّثِيْنَ .

yang bermaksud:

Biarkanlah saya mencium kedua belah kakimu, wahai orang yang mengubati hadith daripada penyakit-penyakitnya, dan wahai ketua bagi al-Muhaddithin (para ulama hadith) .

Al-Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata:

مَا أَخْرَجَتْ خُرَاسَانُ مِثْلَ مُحَمَّدِ بْنِ إِسْمَاعِيْلَ

yang bermaksud:

[Negeri] Khurasan tidak pernah mengeluarkan seorangpun seperti Muhammad bin Isma‘il [al-Bukhari] .

Antara para ‘ulama hadith yang meriwayatkan hadith daripada beliau adalah al-Imam al-Tirmidzi dan al-Imam Ibn Khuzaymah

Al-Imam al-Bukhari adalah antara para ‘ulama yang sampai ke tahap al-Ijtihad. Ijtihad dan pandangan fiqh beliau dapat difahami berdasarkan tajuk-tajuk setiap hadith-hadith yang dimuatkan oleh beliau di dalam al-Sahih. Ini kerana beliau sendiri yang memberikan tajuk kepada setiap hadith dalam Sahih al-Bukhari. Ini berbeza dengan al-Imam Muslim yang hanya memuatkan hadith-hadith Sahih di dalam kitab Sahih beliau tanpa beliau memberikan tajuk-tajuk kepada hadith-hadith tersebut.

Al-Imam al-Nawawi menyatakan bahawa para ‘ulama seluruhnya telah bersepakat bahawa Sahih al-Bukhari dan Sahih al-Imam Muslim adalah dua kitab yang paling sahih selepas al-Qur’an al-Karim berbanding dengan kitab-kitab hadith yang lain. Walau bagaimanapun, al-Imam al-Nawawi dan kebanyakan ‘ulama berpandangan bahawa Sahih al-Imam al-Bukhari adalah kitab hadith yang paling Sahih berbanding dengan Sahih al-Imam Muslim.

Atas dasar inilah, menjadi satu kesalahan berat dari sudut ilmu Islam apabila ada individu Muslim yang mempertikaikan kesahihan hadith-hadith yang dimuatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka. Ini kerana al-Ijma‘ telahpun termetrai bahawa semua hadith yang dinyatakan di dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim benar-benar adalah hadith yang pernah diucapkan oleh baginda Rasulullah tanpa ada sebarang kesalahan sebagaimana umat Islam seluruhnya menyakini bahawa seluruh ayat-ayat al-Qur’an al-Karim adalah benar-benar kalam Allah Taala tanpa ada sebarang syak.

Sahih al-Imam al-Bukhari memuatkan sebanyak 7, 275 hadith. Sekiranya kita hanya mengira bilangan hadith-hadith tersebut tanpa mengira bilangan hadith yang berulang, bilangan hadith Rasulullah dalam Sahih al-Imam al-Bukhari adalah sebanyak 4 ribu hadith.

Al-Imam al-Bukhari meninggal dunia pada malam Sabtu iaitu malam hari raya ‘Id al-Fitr tahun 256 Hijrah di Khartank (salah satu perkampungan di Samarqand). Semoga Allah merahmati beliau dan menempatkan beliau di syurgaNya atas sumbangan beliau yang sangat hebat dan sangat bermakna kepada umat Islam khususnya. Amin.

- Sumber asal.