Sunday 24 June 2012

30 Wasiat Imam Al-Bukhari

Ulama hadis yang paling terkemuka dan masyhur diantara imam-imam hadis adalah Imam Bukhari. Semenjak kecil lagi, nilai intelek Imam Bukhari telah teserlah. Beliau amat warak dan mempunyai daya ingatan yang luar biasa. Diriwayatkan bahawa semasa umur beliau belasan tahun, beliau sudah menghafal 70,000 hadis Rasulullah s.a.w.Ketika berumur 16 tahun, Imam Bukhari pergi ke Makkah bersama ibunya untuk menunaikan Haji. Imam Bukhari terlalu seronok berada di Makkah sehinggakan beliau memanjangkan tempoh lawatan di Makkah untuk membolehkan beliau berguru dengan ulama-ulama terkemuka di Makkah.


Pada umur 18 tahun, Imam Bukhari menerbitkan bukunya yang pertama mengenai sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w, yabg bertajuk 'Al-Tarikh Al-Kabir'. Beliau menulis bukunya ini di dekat makam Nabi s.a.w dan banyak menulis pada waktu malam hari terutama ketika terang bulan.

Imam Bukhari adalah tokoh ulama penghimpun dan penyusun hadis yang paling terkemuka. Beliau digelar dengan panggilan Amirul Mukminin Fil-Hadis (pemimpin orang mukmin dalam hadis), suatu gelar hadis tertinggi.


Semasa pengembaraan beliau, Imam Bukhari hanya mempunyai satu matlamat iaitu mengumpulkan seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk membolehkan beliau membuat pengumpulan yang terbesar tentang sunnah hadis Rasulullah s.a.w. Beliau begitu giat menulis, dan pada satu ketika beliau berkata, " Saya sudah menulis mengenai 1,800 orang, setiap satunya meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w dan saya hanya menulis mengenai mereka yang lulus ujian yang saya tetapkan".

Imam Bukhari mempunyai ingatan yang mengkagumkan dan sumbangannya terhadap sains dan pengumpulan hadis tidak dapat ditandingi. Beliau merakamkan hadis Rasulullah s.a.w di dalam buku 'Al-Jami Al-Sahih'. Beliau membuat penyelidikan selama 16 tahun dan meneliti 600,000 buah hadis sebelum memilih 7,525 buah hadis yang beliau berpuas hati kerana menepati takrif kesahihan yang beliau tetapkan.

Imam Bukhari pernah berkata: "Saya tidak pernah meriwayatkan sebuah hadis pun juga yang diterima dari para sahabat dan tabi'in, melainkan saya mengetahui tarikh kelahiran sebahagian besar mereka, hari wafat dan tempat tinggal mereka. Demikian juga, saya tidak meriwayatkan hadis sahabat dan tabi'in yakni hadis-hadis mauquf, kecuali ada dasarnya yang saya ketahui dari kitabullah dan sunnah Rasulullan s.a.w.

Buku ini mendedahkan kehebatan Imam Bukhari dan wasiat beliau yang termashyur, terutama yang bersumber dari kitab beliau yang terkenal, Al-Tarikh Al-Kabir.


ULAMA, PEMIMPIN, PUJANGGA DAN HUKAMA PASTI AKAN MATI. SATU-SATUNYA YANG AKAN TINGGAL HANYALAH BUKU KARYA MEREKA.

Sumber Asal : http://jomsewabuku.blogspot.com/2010/01/30-wasiat-imam-bukhari-abu-ahmad-yasin.html

No comments:

Post a Comment