Friday 31 August 2012

Kitab al-Jami' al-Sahih


 
Imam Bukhari (w.256H) telah dilahirkan di Bukhara pada bulan Syawal tahun 194H. Dipanggil dengan Abu Abdillah. Nama lengkap beliau Muhammmad bin Ismail bin Al-Mughirah bin Bardizbah Al-Bukhari Al Ju’fi. Beliau digelar dengan al-Imam al- Hafiz atau Amirul Mukminin fi al-Hadis dan lebih dikenal dengan sebutan al-Imam Al Bukhari. Usaha beliau dalam menghimpun hadis-hadis sahih dalam kitabnya, Imam Bukhari menggunakan kaedah-kaedah penelitian secara ilmiah dan sah yang menyebabkan kesahihan hadis-hadisnya dapat dipertanggungjawabkan. Beliau berusaha sungguh-sungguh untuk meneliti dan menyelidiki keadaan para periwayat hadis, serta memperolehi secara pasti kesahihan hadis-hadis yang diriwayatkannya. Beliau senantiasa membanding-bandingkan hadis-hadis yang diriwayatkan, satu dengan yang lain, menyaringnya dan memilih matan mana yang menurutnya paling sahih.
Sehingga kitabnya merupakan merupakan tolok ukur dan penyaring bagi hadis-hadis tersebut. Hal ini tercermin dari perkataannya sendiri: “Aku susun kitab Al-Jami’ ini yang dipilih dari 600.000 hadis selama 16 tahun.” Dan beliau juga sangat berhati-hati dalam setiap pengumpulannya, hal ini dapat dilihat dari pengakuan salah seorang muridnya bernama al-Firabri yang menjelaskan bahawa ia mendengar Muhammad bin Isma’il al-Bukhari berkata: “Aku menyusun kitab Al-Jami’ al-Sahih ini di Masjidil Haram, dan aku tidak memasukkan ke dalamnya sebuah hadis pun, kecuali setelah aku bersembahyang istikharah dua rakaat dan memohon kepada Allah terlebih dahulu dan sesudah itu, barulah aku meyakini bahawa hadis itu sememangnya benar-benar sahih.”
Maksud pernyataan itu ialah bahawa Imam Bukhari mulai menyusun bab-babnya dan dasar-dasarnya di Masjidil Haram secara sistematik, kemudian menulis pendahuluan dan pokok-pokok bahasannya di Raudhah tempat di antara makam Nabi SAW dan mimbar Masjid Nabawi. Setelah itu, ia mengumpulkan hadis-hadis dan menempatkannya pada bab-bab yang sesuai.Pekerjaan ini dilakukan di Mekah dan di Madinah dengan tekun dan cermat, menyusunnya selama 16 tahun.
Usaha sebegitu, menjadikan kitabnya antara yang terlengkap bagi bidang tersebut, dan nilainya pula tidak terdapat pada kitab lain. Oleh itu, tidaklah menghairankan bila kitab itu mempunyai kedudukan tinggi dalam hati para ulama. Maka sungguh tepatlah ia mendapat jolokan sebagai “Kitab hadis Nabi yang paling Sahih selepas al-Quran.”
Diriwayatkan bahawa Imam Bukhari berkata: “Aku tidak memasukkan ke dalam kitab al-Jami’ al-Sahih ini kecuali hadis-hadis yang benar-benar sahih, dan aku tinggalkan banyak hadis sahih kerana khuatir ia membosankan.
Kesimpulan yang diperolehi oleh para ulama, setelah mengadakan penelitian secara cermat terhadap kitabnya, menyatakan bahawa Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya terlalu berpegang teguh pada taraf nilai kesahihan yang paling tinggi, dan tidak turun dari tingkat tersebut kecuali dalam beberapa hadis yang bukan merupakan asas dari sebuah bab, seperti hadis muttabi’ dan hadis syawahid serta hadis-hadis yang diriwayatkan dari sahabat dan tabiin.
Jumlah Hadis di dalam Kitab al-Jami’ al-Sahih (Sahih Bukhari) ‘Allamah Ibnu al-Solah dalam kitabnya Muqaddimah ada menyebutkan, bahawa jumlah hadis Sahih Bukhari sebanyak 7275 buah hadis, termasuk hadis-hadis yang disebutnya berulang kali atau dihitung sebanyak 4000 buah hadis tanpa pengulangan. Perhitungan ini diikuti oleh Syeikh Muhyiddin al-Nawawi dalam kitabnya, al-Taqrib.
Selain pendapat tersebut di atas, Ibn Hajar di dalam mukadimah kitabnya yang terunggul iaitu kitab Fath al-Bari merupakan kitab syarah Sahih Bukhari, ada menyebutkan bahawa semua hadis sahih yang terkandung di dalam Sahih Bukhari tanpa hadis yang disebut berulang sebanyak 2602 buah hadis.
Sedangkan matan hadis yang mu’allaq namun marfu’, iaitu hadis sahih namun tidak diwasalkan (tidak disebutkan sanadnya secara sambung menyambung) pada tempat yang lain sebanyak 159 hadis. Semua hadis Sahih Bukhari termasuk hadis yang disebutkan berulang-ulang sebanyak 7397 buah. Hadis yang mu’allaq berjumlah 1341 buah, hadis yang muttabi’ sebanyak 344 buah hadis.
Jadi, berdasarkan perhitungan ini dan termasuk yang berulang-ulang, jumlah keseluruhannya sebanyak 9082 buah hadis. Jumlah ini di luar lingkungan hadis mauquf yang terkait dengan sahabat dan (perkataan) yang diriwayatkan dari para tabiin serta ulama sesudah mereka. 

Kepintaran Imam Bukhari tiada tolok bandingnya
Muhammad bin Abi Hatim berkata, “Saya mendengar Ibrahim bin Khalid Al-Marwazi menceritakan, “Saya melihat Abu Ammar al-Husein bin Harits memuji Abu Abdillah al-Bukhari, lalu beliau berkata, “Saya tidak pernah melihat orang seperti dia, dia seolah-olah diciptakan oleh Allah hanya untuk hadis”.
Abu Bakar Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah berkata, “Saya tidak pernah melihat di bawah lembayung langit ini seseorang yang lebih mengetahui dan lebih kuat hafalannya tentang hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam daripada Muhammad bin Ismail (al-Bukhari).”
Muhammad bin Abi Hatim berkata, “Saya mendengar Abu Abdillah (Al Imam Al Bukhari) berkata: “Sahabat ‘Amr bin ‘Ali al-Fallas pernah meminta penjelasan kepadaku tentang status (kedudukan) sebuah hadis. Saya katakan kepada mereka, “Saya tidak mengetahui status (kedudukan) hadis tersebut”. Mereka jadi gembira dengan sebab mendengar ucapanku dan mereka segera bergerak menuju kepada ‘Amr. Lalu mereka menceritakan peristiwa itu kepada ‘Amr. ‘Amr berkata kepada mereka, “Hadis yang status (kedudukannya) tidak diketahui oleh Muhammad bin Ismail bukanlah hadis”.
Satu keistimewaan Bukhari adalah ingatannya yang sangat kuat. Rakan sepengajian, Hasyid ibn Ismail berkata, semasa zaman kanak-kanak mereka, Bukhari pernah menghadiri kelas pengajian hadis di Basrah. Beliau menceritakan: “Kami semua menulis nota kecuali al-Bukhari. Selepas 16 hari masa berlalu, kami berbincang mengenai pelajaran dan mengkritik al-Bukhari kerana dia membuang masa dan tidak menulis sebuah pun hadis yang telah dipelajari. Imam al-Bukhari yang ‘terasa’ dengan hal itu menyuruh kami menyemak nota kami. Kemudian dia membacakan satu persatu sehingga habis hadis tersebut, lebih kurang 15,000 buah hadis semuanya. Seolah-olah al-Bukhari telah mengajar pula kepada kami hadis yang kami tulis.”
Peringkat awal belajar, al-Bukhari menghafal 70,000 hadis, kemudian meningkat kepada 300,000 buah hadis, 100,000 daripadanya adalah hadis sahih dan 200,000 pula adalah hadis hasan. Selain itu, al-Bukhari sememangnya memiliki pemikiran yang tajam. Dia tidak bergantung kepada pen dan kertas kerana dia hanya bergantung kepada akal dan memorinya. Kemampuan memorinya mampu mengatasi beberapa keping CD-rom dalam satu-satu masa jika dihitung dari aspek terkini.
Pada suatu ketika, penduduk Baghdad mendapat berita al-Bukhari akan ke sana. Golongan ahli hadis di sana sepakat untuk mengujinya. Mereka merosakkan rangkaian periwayat hadis (sanad) dengan mencampur adukkan antara satu dengan yang lain. Kedatangan al-Bukhari disambut meriah oleh penduduk di sana.
Maka di dalam majlis yang diadakan, mereka mula menguji kepintarannyanya. Sepuluh orang di ambil dan perlu merosakkan sanad dan matan setiap 10 hadis yang dihafalnya. Orang pertama berdiri dan bertanya mengenai rangkaian sanad 10 buah hadis tersebut. Walau bagaimanapun imam al-Bukhari hanya menjawab, “Aku tidak tahu..” Orang kedua juga berbuat begitu dan menunggu jawapan dari al-Bukhari masih tetap dengan jawapan serupa yang diberikannya.
Selepas setiap kali mereka habis bertanyakan 10 hadis tersebut, ketika suasana telah kembali tenang, maka ulama dan ahli fiqh yang hadir mula berpandangan dan menganggap imam al-Bukhari ini lemah dan tidaklah sehebat gelaran dan kemasyhuran yang mereka dengar selama ini. Akhirnya, setelah orang yang terakhir selesai membacakan hadis-hadisnya, imam al-Bukhari mula berbicara. Dia mengarahkan perhatiannya kepada penyoal yang pertama dengan menyebutkan hadis pertamanya hingga hadis ke-10 dan membetulkan matan hadis dan sanadnya sekaligus.
Demikian pula dengan 9 penyoal yang lain. Akhirnya, kesemua hadis yang telah ditukar matan dan sanadnya dibacakan kembali oleh Imam al-Bukhari sebagaimana hadis yang asal dan menyempurnakan 100 buah hadis tersebut.Semua orang yang hadir berasa kagum dan mengakui kelebihan dan keutamaan Imam al-Bukhari di bidang ini. Apatah lagi ditambah dengan kemampuannya untuk menyampaikan kesalahan hadis yang disampaikan kepadanya secara berturutan dengan hanya sekali mendengarnya sahaja.
Qutaibah bin Sa’ad berkata: “Pada zamannya, Muhammad bin Ismail seperti Umar di zaman para sahabat. Maksudku dari aspek kecerdasan, pengetahuan dan keberaniannya dalam memperlihatkan kebenaran.”Anak murid dan juga pembantunya yang setia iaitu Muhammad ibn Abi Hatim al-Warraq menceritakan, al-Bukhari membuka rumah tumpangan di kota Bukhara dan memasang bata sendiri untuk menyiapkan rumah itu, Warraq yang ingin membantu tetapi tidak diizinkan oleh al-Bukhari denga katanya: “Pada hari akhirat nanti, usaha ini akan menjadi faedah untuk diriku.” 
Abdullah bin Muhammad al-Sayarafi menceritakan: “ketika aku berada bersama Muhammad bin Ismail di biliknya, maka masuklah pembantu rumahnya (jariah yang dimilikinya sebagai hamba) ke dalam biliknya dan dia telah terlanggar dakwat yang berada di hadapan Imam al-Bukhari. Dia lantas bertanya kepada jariahnya itu: “Bagaimana kamu berjalan?” Jariahnya menjawab: “Jika tiada jalan bagaimana aku ingin melangkah?” Beliau terus mendepakan tangannya, seraya berkata: “Pergilah, sesungguhnya engkau telah aku bebaskan!” Jariahnya bertanya: “Wahai Abu Abdillah, adakah aku membuatkan engkau marah?” dia menjawab: “Sesungguhnya aku reda di dalam hatiku dengan apa yang engkau telah lakukan.”
Dari Abu Bakar bin Munir dia menceritakan: “Suatu hari ketika Imam al-Bukhari sedang bersembahyang, tebuan menyengatnya di 17 tempat. Sebaik sahaja selesai dia bersembahyang, dia berkata: “Cuba kamu lihat apa yang menyakitiku dalam solat aku tadi?” Mereka mencarinya dan mendapati tebuan telah menyengatnya di 17 tempat pada tubuhnya, dia tidak langsung menghentikan solatnya.”
Muhammad ibn Abi Hatim al-Warraq juga pernah bercerita, jika mereka berpergian, anggota rombongan lain akan tinggal sebilik dan al-Bukhari akan tinggal sendirian di dalam satu tempat. Aku sering melihat al-Bukhari bangun 15 sehingga 20 kali sepanjang malam dengan menyalakan sendiri lampu. Kemudian dia bangun untuk membaca dan membetulkan hadis kemudian tidur semula. Al-Warraq yang melihat keadaan itu menawarkan bantuan tetapi al-Bukhari menjawab: “Kamu masih muda dan aku tidak mahu mengganggu tidurmu.”
Ali bin Muhammad ibn Mansur mendengar bapanya bercerita: “Ketika kami berada di dalam majlis ilmu Imam al-Bukhari di masjid, terdapat seorang lelaki dari kalangan yang hadir telah mencabut janggutnya dan mencampakkan ke tanah. Aku memerhatikan bahawa Imam al-Bukhari memandang kelakuannya semasa melihat ke arah orang ramai. Setelah selesai majlis dan orang ramai sedang sibuk dengan urusan mereka, aku melihat Imam al-Bukhari mengaut semula helaian janggut yang tercabut dan berselerakan di lantai masjid itu dan memasukkan ke dalam lengan jubahnya. Apabila beliau keluar dari masjid, aku melihat beliau mengeluarkan dan mencampakkannya di luar masjid. Hal itu seolah-olah dia memelihara kebersihan masjid sebagaimana dia memelihara kebersihan janggutnya.” 


 





No comments:

Post a Comment